新闻发布



IOI Properties bakal bina terowong surai kesesakan Lebuh Puteri

Posted on: 22 Feb, 2019

IOI Properties Group Berhad akan menaik taraf jalan utama Lebuh Puteri di sepanjang 1.5KM menerusi pembinaan terowong dan kos ditanggung sepenuhnya syarikat berjumlah RM43.9 juta.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, projek fasa kedua pembangunan Bandar Puteri ini sebagai langkah persediaan sebelum pembangunan baharu dibuat.

Katanya, projek itu dibuat bagi penyuraian aliran trafik kerana projek fasa pertama persimpangan daripada Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dijangka siap Jun ini.

“Projek ini akan bermula kira-kira selepas Pasaraya Giant atau Hospital Columbia sehingga Puteri 8. Kos RM43.9 juta ini ditanggung sepenuhnya pemaju Bandar Puteri iaitu IOI Properties Group.

“Projek ini membabitkan pelebaran Lebuh Puteri dan pembinaan terowong ke fasa pembangunan baharu. Reka bentuk persimpangan ini hampir sama di LDP berdekatan Tropicana Mall.

“Bagi penduduk di sekitar Hospital Columbia, mereka boleh membuat pusingan-U dengan selamat dan tanpa halangan di hadapan IOI Galeria,” katanya dalam sidang media di IOI Galeria, Lebuh Puteri hari ini.

Sze Han berkata, penganugerahan tender sudah dilakukan dengan peringkat pertama projek ini sepanjang 750meter pertama daripada Hospital Columbia dijangka siap pada Disember 2020 manakala bakinya pula pada Jun 2021.

Dalam sidang media sama beliau turut mengucapkan terima kasih kepada IOI Properties Group kerana menyumbang terhadap pembangunan di sini kerana sebelum itu syarikat sama membelanjakan RM20 juta bagi fasa pertama projek.

“Dengan adanya projek ini bukan sahaja akan dapat mengurangkan kesesakan di dalam Bandar Puteri, ia juga akan mengurangkan kesesakan di LDP,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, IOI Properties Group Berhad, Chung Nyuk Kiong berkata, pihaknya sudah membina 30,000 unit bangunan membabitkan kediaman serta pusat perniagaan di Bandar Puteri.

“Dalam perancangan masa hadapan, kami bakal membina tambahan 15,000 hingga 20,000 unit bangunan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun terhadap tanah seluas 90 ekar,” katanya.

 
Loading...